Tuesday, March 15, 2016

Pengenalan


Image result for sejarah perlembagaan malaysia 


     Sejarah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dapat dikatakan berasal sejak Tanah Melayu berlindung di bawah naungan kerajaan Inggeris pada akhir abad ke-19. Menjelang tahun 1895, kerajaan Inggeris telah berjaya menguasai negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sejarah perlembagaan moden negeri-negeri Persekutuan boleh dikatakan bermula pada 10 September 1899 apabila mesyuarat pertama Majlis Negeri Perak dirasmikan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Jepun berjaya menawan Tanah Melayu.
          Apabila Inggeris kembali, mereka telah merancang untuk memperkenalkan Malayan Union yang kemudiannya mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu. Akibat tentangan orang Melayu, Malayan Union kemudiannya telah dimansuhkan dan digantikan dengan perlembagaan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan yang dibentuk dalam tahun 1948 ini berjalan dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu hingga tahun 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu menamatkan kedaulatan dan bidang kuasa Inggeris di Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan 1957 berkuat kuasa sehingga sekarang dengan beberapa pindaan penting. Antara pindaan yang telah dilakukan ialah Akta Malaysia yang diluluskan pada tahun 1963 meminda inter-alia Perkara 1 (1) dan (2) untuk memasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura serta menukarkan nama Persekutuan kepada Malaysia.
             Kesatuan Tanah Melayu yang lebih dikenali dengan Malayan Union, merupakan satu cubaan kerajaan British untuk menukar taraf negeri-negeri Melayu yang bernaung sebagai tanah jajahan. Kerajaan British ingin menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai tanah jajahannya seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pihak British akan mempunyai kuasa penuh di Tanah Melayu, dan kedaulatan raja-raja Melayu akan terhapus. Rancangan Kesatuan Tanah Melayu (Malayan Union) merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah Malaysia. Pembentukan Malayan Union telah berjaya memarakkan semangat kebangsaan orang Melayu. Malayan Union juga telah menyatupadukan orang Melayu, sekurang-kurangnya buat beberapa ketika. Mereka memulakan gerakan politik anti-British secara terbuka dan merupakan bibit permulaan bagi perjuangan mencapai kemerdekaan serta menggubal undang-undang tertinggi negara yang mengambil kira unsur-unsur tradisi masyarakat di negara ini.
           Secara ringkasnya kronologi penggubalan Perlembagaan persekutuan adalah bermula daripada Perlembagaan Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment